KLUANG 22 Sept. – Seorang peneroka di Felda Layang-Layang di sini kini boleh berasa bangga kerana keropok pisang yang dihasilkan berjaya memberi pulangan pendapatan sampingan yang menguntungkan hingga RM1,200 sebulan.
Lebih membanggakan, ciptaannya itu mencatat sejarah tersendiri kerana berjaya mencipta keropok pisang. Sebelum ini pisang hanya dijadikan kerepek.
Hamzah Sariwon, 57, yang lebih mesra dengan panggilan Wak berkata, beliau berbangga kerana berjaya mempelbagaikan makanan berkhasiat untuk dinikmati penggemar pisang selain menambahkan pendapatan keluarganya.
“Kira-kira dua tahun lalu, datang ilham pada awal pagi bila terfikir di Pantai Timur ada keropok ikan tetapi di sini (Johor) banyak pisang, jadi kenapa tidak dibuat keropok pisang,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Felda Layang-Layang Kluang di sini, semalam.
Menurutnya, selepas itu beliau mengadunkan ramuan pisang masak yang dikupas lalu diuli dengan tepung ubi, gula, garam serta air lalu dibentuk seperti silinder. Bapa kepada sembilan anak itu berkata, bahan kemudian dipotong menjadi kepingan bersaiz bulat lalu dijemur dan selepas kering digoreng untuk menjadi keropok pisang yang enak.
Menurutnya, beliau telah mendapatkan nasihat daripada Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengkomersialkan makanan ringan tersebut. Dengan sokongan jabatan-jabatan tersebut, Hamzah kemudian mengikuti kursus keusahawanan dan pembungkusan makanan sebelum memulakan perusahaannya dengan modal RM1,000.
Beliau seterusnya menerima pinjaman kewangan berjumlah RM6,000 daripada Felda dan dengan peruntukan itu dia membeli empat mesin menguli dan pemotong untuk membolehkan pengeluaran dilakukan secara besar-besaran.
“Pengeluaran peringkat awal secara manual mampu menghasilkan 100 kilogram (kg) keropok sebulan manakala jumlah pengeluaran menggunakan mesin mencecah 300 kg sebulan,” jelasnya.
Katanya, kesemua operasinya dilakukan di rumahnya dengan dibantu oleh dua orang pekerja dan nilai aset perusahaan itu kini sebanyak RM12,000.
Menurut Hamzah, nilai jualan produk itu mencecah RM2,400 sebulan dan kebanyakannya dipasarkan di seluruh negeri Johor.
Katanya, keropok pisang mentah dijual pada harga RM8 sekilogram manakala keropok yang digoreng berharga RM12 sekilogram.
“Bagaimanapun, pengeluaran saya masih tidak dapat menampung permintaan yang terlalu tinggi kerana maklum balas mendapati ramai yang menggemari keropok pisang ini,” katanya. Justeru, beliau bercadang untuk mengetengahkan lagi produk tersebut dan bersedia berkongsi ilmu pengetahuan dengan usahawan yang mahu menceburkan diri menjual keropok pisang. “Walaupun saya yang pertama membuat keropok pisang tetapi saya berharap lebih ramai lagi yang membuat keropok pisang kerana permintaannya terlalu tinggi di pasaran,” katanya.
Hamzah berkata, walaupun permintaan makanan itu meningkat dua kali ganda pada musim perayaan namun beliau hanya mampu mengeluarkan keropok pada kuantiti biasa ekoran masalah kekurangan bahan mentah pisang.
Nota: Ni citer 2008 yang saya terjumpa..
No comments:
Post a Comment