Showing posts with label usahawan. Show all posts
Showing posts with label usahawan. Show all posts

Thursday, September 17, 2009

Kertas Pisang


PULAU PINANG , 24 Jun (Bernama) -- Apabila penggunaan plastik disaran supaya dikurangkan, usahawan tempatan Sulaiman Ramli mendapat idea untuk menghasilkan kertas dan mempelbagaikannya.

Hari ini, syarikatnya Pisang Kraf, menghasilkan kertas daripada serat batang pisang untuk dijadikan beg, lampu hiasan, kad ucapan dan kotak hadiah yang mendapat sambutan hingga ke Australia.

Semasa program lawatan ke Pisang Kraf anjuran Kraftangan Malaysia baru-baru ini, Sulaiman, 42, menceritakan bahawa idea untuk menghasilkan kertas daripada serat batang pisang itu ialah daripada anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Mohd Farid Saad.

"Ketika lawatan Mohd Farid ke Chiang Mai melalui program `Satu Desa Satu Industri', beliau berkunjung ke satu kampung dan melihat penduduknya mengusahakan kertas ini.

"Ketika itu Mohd Farid tertarik dan memikirkan jika ia dilakukan di Malaysia, amat menarik sekali, dan mencadangkannya kepada saya," kata Sulaiman.

BANTUAN FARID
"Memandangkan saya memang ingin membuka perniagaan sendiri, dan saya pula menginginkan produk yang belum ada di pasaran, berlainan, serta ada unsur kraf, saya sangat berazam untuk mengusahakan sesuatu," katanya.

Sulaiman berkata buat permulaan Mohd Farid memberikan modal kepadanya sebanyak RM23,000 serta ditambah dengan perbelanjaan sendiri sebanyak RM5,000.

"Selepas berbincang dengan Mohd Farid saya pergi melihat pameran di Pusat Seni Universiti Sains Malaysia dan melihat penghasilan kertas melalui serat batang pisang ini, dan dari situ saya sudah tanam hasrat untuk menjalankan perniagaan ini dan mendalami ilmu tersebut di USM," katanya.

Sulaiman berkata USM turut melabur RM1 juta bagi membantunya membeli peralatan di samping bimbingan yang diberikan oleh dua tenaga pengajar.

"Saya belajar membuat kertas daripada serat batang pisang ini hampir setahun," katanya.

KERTAS SERAT BATANG PISANG
Sejak mula lagi Sulaiman mempercayai bahawa produk yang diusahakannya itu mempunyai keistimewaan dan kraf memiliki potensi besar di pasaran.

"Saya merupakan pelopor pertama di sini yang mengusahakan kertas daripada serat batang pisang dan bagi memulakan usaha ini, lebih 40 hektar tanah digunakan untuk menanam pokok pisang," katanya.

Sulaiman berkata bagi menghasilkan kepingan kertas, batang pisang yang ditebang perlu direndam terlebih dahulu selama dua bulan bagi mendapatkan seratnya.

"Seeloknya gunakan pisang rawak kerana serat batang jenis pisang ini sangat baik berbanding pokok pisang yang lain.

"Kita akan dapat lihat serat yang terkeluar dari batang pisang yang kehitam-hitaman selepas direndam, yang kemudian bertukar kepada warna putih jernih," katanya yang mengusahakan perniagaan ini bersama seorang rakan kongsi sejak 2006 dan kini beliau dibantu tiga pekerja.

Proses seterusnya ialah serat batang pisang itu direbus selama satu jam sebelum di mesin.

"Serat batang pisang yang sudah dimesin akan ditekan menggunakan mesin hidrolik khas bagi membuang airnya, dan setelah menjadi kertas, ia akan dilekatkan ke dinding selama tiga hari, dan jika menginginkan kertas pelbagai warna, ia boleh diwarnakan ketika kertas masih basah," katanya.

POTENSI BESAR
Katanya sekeping kertas bersaiz A3 dijual dengan harga RM5. Dalam sehari beliau mampu mengeluarkan sebanyak 60 keping kertas yang melibatkan lima atau enam batang pisang.

Daripada kertas itu, Sulaiman memvariasikan penggunaannya dengan membuat lampu hiasan, kotak, beg kertas, kad ucapan dan bingkai gambar.

Menjadi adat, barang baru harus giat diperkenal dan Sulaiman gembira kerana Kraftangan Malaysia membantu membawanya mempromosi produk itu dengan menjelajah seluruh Malaysia.

"Setiap bulan saya akan mengikuti rombongan Kraftangan, dan syukur kini, produk ini mula mendapat perhatian," katanya.

MENGINTAI PELUANG DI HOTEL
Sulaiman berkata beliau mengorak langkah untuk menembusi pasaran bagi produk ini di beberapa hotel terkemuka di Pulau Pinang serta butik perkahwinan.

"Kini, kebanyakan hasil barangan saya mendapat tempahan Koperasi Keusahawanan Kampung di Balik Pulau, dan saya kini mula memasarkan produk ini di hotel dan butik di negeri ini," ujarnya.

Di butik perkahwinan, Sulaiman mempromosi lampu hiasan yang boleh digunakan pemilik butik bagi membuat hiasan pelamin buat bakal Raja Sehari.

"Ini satu idea baru dan saya harap lampu hiasan ini dapat didekorasikan di pelamin-pelamin, dan saya akan mengusahakan promosi penggunaan lampu ini di luar negeri," katanya yang meraih pendapatan dalam lingkungan RM3,000 hingga 5,000 sebulan.

TEMBUSI PASARAN LUAR
Sulaiman kini menjadi pengeluar dan pembekal kertas batang pisang terkenal, memandangkan produknya telah pun menembusi pasaran luar negara - Indonesia dan Australia.

"Di Malaysia permintaan kebanyakannya dari Alor Star, Kuala Lumpur dan Sabah, dan kini saya menerima tempahan dari Australia, kebanyakannya untuk lampu hiasan," katanya

"Harapan saya agar produk ini mendapat permintaan daripada banyak syarikat dan ingin mengeluarkan lebih banyak kertas berbanding sebelum ini iaitu dalam sebulan, 800 keping," katanya.

Sulaiman tidak menafikan pendapatannya kini jauh meningkat berbanding menjadi pemandu dahulu.

Sumber: Balkish Awang BERNAMA

Tuesday, September 15, 2009

Kulit Pisang Jadi Bahan Bakar


Siapa sangka, kulit pisang yang selalu kita buang ternyata boleh djadikan sebagai sumber tenaga. Para penyelidik dari Universiti Nottingham, UK menemukan cara untuk memproses sampah kulit pisang yang banyak terdapat di Afrika, menjadi bahan bakar bagi menghasilkan tenaga.

Kulit pisang itu diubah menjadi semacam briket yang boleh dibakar dan digunakan untuk memasak, penerangan, dan pemanas ruangan. Penemuan briket dari kulit pisang ini mampu menggantikan penggunaan kayu bakar dan mengurangi penebangan pokok.

Di beberapa negara di Afrika, seperti Rwanda, terdapat banyak sekali pohon pisang. Pisang juga diproses menjadi makanan dan minuman, kerana itu terdapat banyak sampah kulit pisang. Agar tidak menjadi sampah yang terbuang secara percuma, para penyelidik memanfaatkannya menjadi bahan bakar yang boleh digunakan oleh masyarakat.

Saturday, September 5, 2009

Rantaian Bekalan (Supply Chain)





Bagi memastikan kesinambungan sesuatu projek / perniagaan, kita haruslah memikirkan keseluruhan sistem rantaian bekalan perniagaan tersebut. Sebaik mungkin setiap komponen tersebut hendaklah berada didalam kawalan kita. Berada didalam kawalan tidak semestinya bermakna kita yang memilikinya.

Sebagai contohnya Pisang. Kita haruslah mempunyai kawalan terhadap:-

a) Bekalan Anak Pisang
b) Baja (samada organik ataupun tidak)
c) Racun
d) Pengurusan Penanaman (termasuk teknologi dan kaedah penanaman)

e) Pemprosesan
f) Logistik
g) Pengedaran
h) Pemasaran
i) Latihan
j) Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)

Kesemua komponen diatas amatlah mustahak bagi memastikan kejayaan dan kesinambungan (sustainability) perniagaan yang diusahakan. Cabarannya adalah bagi mengenalpasti komponen manakah yang kita sendiri mampu melakukannya? Mustahil bagi kita melakukan keseluruhan komponen tersebut.



Disinilah bermulanya cabaran kedua bagi perniagaan kita. Mengenalpasti rakan strategik atau usahasama bagi menjalankan komponen yang kita tidak mampu / kurang kemahiran untuk melakukannya. Bagaimanakah caranya untuk kita mengadakan kerjasama tersebut? Setiap orang memerlukan keuntungan, bagaimanakah harus diukur tahap keuntungan yang perlu diambil oleh setiap pihak? Kunci kejayaan terletak kepada keikhalasan dan kejujuran usahawan tersebut. Dengan berbekalkan kedua ciri tersebut, InsyaAllah akan dipermudahkan oleh Allah swt.

Setelah dikenalpasti rakan strategik / usahasama, langkah seterusnya adalah didalam mengenalpasti sumber manusia (kakitangan) yang diperlukan mengikut kemahiran dan sebagainya. Bukannya mudah menguruskan pekerja. Adalah lebih mudah menguruskan tanaman dan haiwan dimana mereka tidak dapat berkata-kata kembali, tidak menipu, dan 1001 macam dugaan dan cabaran lagi. Disini lah ujian sebenar akan dilalui..

Lain-lain aspek perniagaan seperti pemasaran adalah perkara yang mudah jika dibandingkan dengan pengurusan sumber manusia.

Untuk berjaya jangan lah mudah kita putus asa. Sekiranya kita tertipu, anggaplah ianya sebagai yuran persekolahan agar kita menjadi lebih pandai dan cekap. Nak dapat Ijazah pun kena bayar di Universiti, apatah lagi bagi mendapatkan ilmu yang praktikal. Sekiranya tertipu, anggaplah ianya sebagai balasan ataupun dugaan. Samada ianya balasan atau dugaan, hanya tuan badan dan Allah swt sahaja yang mengetahuinya.

Balasan mungkin terhadap kealpaan kita membayar zakat, pernah mencuri suatu ketika dahulu, pernah menipu orang suatu ketika dahulu dan sebagainya.



Dugaan mungkin sebagai cara Allah swt memberi kekuatan agar kita lebih cekap. Menguji kesabaran kita dan sebagainya.

Akhir sekali, sebagai umat Islam, hendaklah kita sentiasa berusaha yang terbaik, berdoa tanpa jemu, bertawakkal dan yakin kepada Allah swt dan jangan lupa, REDHA terhadap segala ketentuannya. Sesungguhnya hanya dia yang maha mengetahui segalanya. Bukankah kita sentiasa berdoa agar Allah mempermudahkan serta menunjukkan kita jalan yang benar dan terbaik? Justeru itu, apabila sudah ditunjukkan maka hendaklah kita mensyukuri dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Friday, July 4, 2008

Usahawan Pertanian

Salam Semua,

Sekarang ni terlalu ramai dikalangan orang ramai yang tergila-gila nak menceburi sektor pertanian tanpa mendalami atau mengkaji dengan lebih teliti bidang yang ingin diceburi. Selalunya jalan mudah yang dicari adalah melalui skim belian balik atau lebih mesra dipanggil sebagai "contract farming".

Agak ramai juga yang sudah tergadai apabila menceburi sesuatu program contract farming yang diceburi. Indah khabar dari rupa. Ketika itu, duit pleaburan pun sudah habis dan tak guna nak menyesal. Dah terlambat.

Bagi mengelakkan daripada melakukan kesilapan atau mengurangkan risiko kerugian, perlu lah kita menganalisa sesuatu program tersebut dengan perkara berikut:-

1) Latar Belakang Syarikat Utama yang menawarkan program tersebut
- Sudah berapa tahun ditubuhkan
- Semak status sykt tersebut dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia
- Berapakah modal berbayar yang dinyatakan
- Siapakah ahli lembaga pengarah dan pengurusan utama mereka
- Latarbelakang ahli lembaga pengarah dan pengurusan utama

2) Business Track Record dan/atau Referral
- Siapakah yang telah berjaya mengikuti program mereka dan berapa lama telah mereka sertai?
- Berapakah kuantiti yang diperlukan seminggu atau sebulan atau setahun?
- Sekiranya mereka menyatakan produk untuk pasaran eksport, kepada siapakah akan mereka eksport?
- Berapakah harga belian yang syarikat tawarkan kepada anda?
- Apakah terma-terma pembayaran - tunai? kredit?

3) Syarat Belian Balik
- Tanya dan cuba fahami syarat-syarat belian balik yang dinyatakan

4) Khidmat Bimbingan dan Sokongan Teknikal
- Ada tak sykt menawarkan perkara diatas? Sekiranya ada, berapakah caj bulanan dan skop kerja yang mereka buat

5) Pembatalan Belian
- Sekiranya berlaku, siapa kah yang akan menanggung kerugian?

Stop dulu buat masa ini, nanti sambung kembali..